Hamdan Bin Isnin

Nama saya Hamdan Bin Isnin dan saya berumur 49 tahun. Saya mula menagih heroin pada tahun 1988. Pada mulanya saya hanya menggunakan heroin hanya untuk suka-suka akan tetapi lama kelamaan ianya menjadi sebahagian dari hidup saya. Jika saya tiada bekalan heroin, badan saya akan mula sakit-sakit, seram sejuk, pinggang sakit, perut memulas serta air mata keluar. Pemikiran saya juga menjadi kacau bilau. Terasa di dalam sendi ada benda yang bergerak.

Bila saya ketagihan dadah, saya meletakkan perasaan malu ketepi. Saya tidak dapat bekerja kerana ketagihan. Oleh kerana tidak dapat melakukan kerja, saya mula mencuri, menyamun dan menipu gara-gara nak mendapatkan dadah. Saya sudah masuk penjara empat kali dan pusat serenti sebanyak empat kali. Bukan itu yang saya mahu namun bila sudah terlalu ketagih, seorang penagih akan akhirnya ke pusat serenti atau penjara juga.

Pada tahun 2010 ketika saya berada di penjara, pihak PPUM telah mencari siapa yang hendak mengikuti program Methadone. Alhamdulillah setelah mengikuti program methadone mereka, saya telah mengecapi kehidupan berumah tangga. Saya sudah mempunyai dua anak lelaki dan seorang perempuan. Bukan sahaja itu, saya juga mampu membeli kereta dengan hasil titik peluh saya sendiri. Saya sudah boleh hidup seperti orang normal yang lain. Sejak 2010 sehingga sekarang, saya tidak pernah cuba untuk mendekati heroin lagi. Saya tidak mahu hidup seperti ketika saya menghisap, dimana kehidupan saya tidak tentu arah.

Walaupun sekarang saya mengamalkan Methadone, tapi saya boleh hidup seperti orang lain. Terima kasih kepada Professor Adeeba dan staf PPUM kerana banyak membantu. Terima kasih juga kerana tidak jemu-jemu melayan kerenah bekas penagih seperti saya. Semua budi baik anda semua tidak dapat dibalas dengan wang ringgit. Terima kasih banyak-banyak.