Amirul Hisyam

Adik: Kenapa nampak resah mak?

Mak: Along tu, hari-hari mintak duit dari mak, pening dah kepala mak. Duit ni untuk belanja dapur, kalau mak tak beri habis barang rumah nak dijual.

Adik: Sudahlah tak bekerja, tak habis-habis menyusahkan mak. Susah nak baik macam tu mak.

Mak: Itulah masalahnya, sudah banyak kali kena tangkap tapi tak serik-serik. Silap-silap nanti mati hisap barang tu. Penat je mak besarkan, anak tak guna!

Itulah yang selalu aku dengar tiap kali lepas aku mintak duit daripada mak atau adik-adik aku. Mereka pun tak tahan dengan aku sebab selalu mintak duit. Luahan mereka sampai sekarang aku masih ingat. Kadang-kadang bila aku memikirkan perkara tersebut, aku jadi sedih, menitis air mata kerana sikap aku dulu. Oleh kerana itu, aku telah mengambil keputusan untuk hijrah ke tempat yang selamat, jauh dari dadah dan tempat kawan-kawan menghisap. Akhirnya aku pergi ke CCSC Kerinci Pantai Dalam. Aku telah bertekad pada waktu itu untuk mengikuti program rawatan dan pemulihan melalui program Methadone.

Setelah aku ikut program tersebut, aku sudah ada kekuatan untuk cari kerja. Aku tak fikir pasal dadah sebab sibuk dengan kerja. Methadone banyak membantu aku untuk terus lupa pasal dadah. Aku juga berkenalan dengan seorang kawan yang bernama Aerin. Aerin juga mengikuti program Methadone. Minat dan hobi kami sama dan kami berkawan hingga sekarang. Kami berdua memang bertekad untuk bebas dari penyalahgunaan dadah dan ingin berubah ke arah hidup yang lebih baik. Atas kesedaran itu, kami terus mengikuti program-program yang diadakan oleh AADK dan CERiA.

Alhamdulillah, setiap masalah ada jalan penyelasaian tapi bukan dengan cara menghisap dadah. Rawatan dan pemulihan wajib diteruskan sehingga akhir hayat. Kami dapat bercampur dengan masyarakat. Masyarakat memberikan respon yang baik atas perubahan kami lebih-lebih lagi keluarga sendiri. Keluarga sayang dan terima kami kembali. Saya rasa bahagia dan gembira dapat bersama. Hebat hidup tanpa dadah! Insya Allah, atas kesedaran dan kepulihan ini, kami akan terus berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan kami yang lepas. Kami mahu tinggalkan tabiat menghisap dadah. Tapi mahu lagi menyusahkan keluarga. Hidup bebas dan bahagia tanpa dadah.